Harap maaf ... Blog ini sedang dibangunkan semula .. akan kembal menemui anda !!!

Selamat Datang
Terima Kasih Atas Kunjungan

Pengalaman @ Universal Studios Singapura

Tidak terfikir untuk ke sana walaupun sering mendengar orang memperkatakannya serta melihat paparan iklan menereusi media massa. Bagi peminat filem mungkin menjadi satu kemestian untuk ke Universal Studios Singapore ( USS ) sekiranya berkunjung ke Singapura. USS merupakan sebuah taman tema yang terletak di Pulau Sentosa Singapura. Dibangunkan oleh Genting Group ( syarikat Malaysia yang diasaskan oleh mendiang Tan Sri Lim Goh Thong) mulai pada April 2007 dan siap serta mula dibuka kepada orang ramai secara berperingkat pada Mac 2010.
Sambutan penggila filem Universal Studios sungguh hebat hingga mendapat kunjungan lebih 2 juta pengunjung dalam masa 9 bulan pertama pembukaannya. USS dikatakan satu-satunya taman tema seumpamanya di Asia Tenggara untuk tempoh 30 tahun !!

Dengan keluasan 20 hektar ( 49 ekar ), terdapat pelbagai tarikan mengikut zon yang dibuat berasaskan filem-filem blockbuster atau persembahan TV, memaparkan keunikan masing-masing sebagai tarikan, set pengambaran dan peralatan serta penampilan beberapa karakter popular dalam filem. Terfikir aku bagaimana USS boleh bertahan, seiringan dengan populariti filem terbitan Universal Studios ? Mungkin 10 tahun akan datang USS sudah tidak relevan, kecuali kandungannya di ubah mengikut populariti filem semasa.

Pada 21 Jun 2012 lalu, berkesempatan singgah ke USS. Tak pasti harga tiket, sebab dapat tiket free ( 1 day pass ) dan agaknya SGD68. Kali 2.5 = RM 170. Pergh !!! Nasib baik juga aku pernah tengok filem-filem lama seperti Jurassic Park, Lost World, The Mummy dan The Shrek, kalau tidak mungkin aku tidak terasa apa-apa berkunjung ke sana. Penggila filem terbitan Universal Studios agaknya terasa enjoy sakannya. Mungkin boleh aku katakan USS ni sesuai untuk kanak-kanak, remaja atau orang muda. Aku yang sudah berusia nie, terasa lain dan seperti semakin ditinggalkan dunia agaknya. Pun begitu aku cuba catatkan rakaman luahan rasaku, pengalaman seharian mengunjungi USS, masuk 9.30 pagi dan keluar jam 5.00 petang.

Pintu Masuk
Sesampai sahaja di perkarangan pintu masuk, globe Universal Studios menjadi tarikan. Ia seperti menjadi trademark, dipaparkan sebelum tayangan filem Universal bermula. Aku pun seperti orang ramai, tidak melepaskan bergambar di situ. Agak sukar juga nak dapat posisi tulisan penuh Universal tu. Wap air yang sentiasa menyelubungi bahagian bawah globe agak mengujakan suasana.

.
Pintu masuk walaupun dibuka hanya beberapa, namun suasana agak terkawal. Beratur tidaklah lama dan setiap orang diimbas tiket memasing yang kebanyakkannya dibeli melalui internet. Dikatakan jualan tiket harian adalah terhad ( atau sekadar propaganda untuk melariskan jualan tiket ). Sekiranya habis maka tak dapat masuk. Ini mungkin untuk tujuan kawalan dan maintenance.

Orang agak ramai. Rupanya ketika aku ke sana, sedang cuti sekolah. Tapi aku dapat rasai bahawa pengunjung bukan orang tempatan sahaja. Pelbagai bangsa dan ramai juga muka-muka Melayu. Agaknya dari Indonesia. Tentunya orang kaya Indon.

Sekiranya seorang SGD 68, katakan 6,000 orang ( anggaran dari 2 juta pengunjung dalam masa 9 bulan pertama dibuka ) masuk sehari. Maka sebanyak SGD 408,000 atau RM 1,020,000. Pihak USS dikatakan menganggarkan sekitar 5 juta pengunjung setahun. Maknanya SGD 68 X 5 juta orang = SGD 340 juta setahun. Macamana nak cover kos pembinaan yang dikatakan sekitar SGD 1.4 billion. Tapi ini baru jualan tiket sahaja.

New York & Hollywood
Masuk sahaja terus dihidangkan dengan suasana bangunan yang dikatakan menyerupai suasana di Hollywood serta Bandar New York lama. Entahlah …. Aku tak pernah ke Hollywood, New York pernah tapi tak macam yang pernah aku lihat. Dalam bangunan tersebut juga merupakan kedai-kedai yang menjual barangan souvenir berkaitan USS dan makanan.

Aku mandapatkan peta panduan yang diedarkan di pintu masuk. Tarikan yang dihighlightkan adalah Studio Transformer. Ini yang sering diiklankan di TV Malaysia. Bagus sangat ke ? Jadi aku follow arah tersebut.

Dalam perjalanan tersebut pelbagai rekabentuk yang dikatakan bangunan Bandar New York di kiri dan kanan jalan. Patut pun kos pembinaannya tinggi, kelihatan memang bangunan sunguh-sungguh atau sebenarnya sekadar 'facade', betul-betul di bahagian hadapannya sahaja.

Mungkin kedai-kedai yang dibuka melambang selebriti Universal Studios tertentu, aku tidak tahulah.

Transformers : The Ride
Kemudian aku sampai ke satu kawasan yang dipanggil Bandar Sc-FI ( agaknya kependekan Science Fiction ) dan terus masuk ke ‘pintu’ Studio Transformer, tarikan terbaru tu.

Aku melalui sekatan yang disediakan untuk pengunjung beratur. Tetapi sebab orang masih belum ramai, jauh juga berjalan masuk. Malah ada yang berlari-lari, excited sangat.

Dalam perjalanan dipaparkan agaknya suasana agaknya sebagaimana dalam filem Transformer menerusi skrin TV, tulisan dinding serta pameran senjata yang digunakan. Walaupun akhirnya beratur agar panjang, namun aku kira pergerakannya tidaklah lama sangat.

Sampai sahaja kami dibahagikan kepada 20 orang untuk menaiki ‘kenderaan’ yang disediakan. Kami dikehendaki memakai cermin mata 3D. Untuk menghadkan pergerakan penumpang, di letakkan gegandar di atas paha selain jadi tempat tangan memegang mengelakkan penumpang ‘terjatuh’ agaknya.

Cukup 20 orang kenderaan kami pun bergerak kehadapan. Aku lihat dalam sesatu masa banyak kenderaan yang tiba tidak putus-putus untuk mengambil penumpang. Patut pun masa menunggu tidak lama.

Sukar nak digambarkan pengalaman selepas itu, suasana gelap dan bising sekali. sehingga sukar nak dihayati apa yang sebenarnya berlaku. Asyik terkejut dengan transformer yang muncul di hadapan. Sebagai gambaran. mungkin tidak jauh daripada rakaman yang aku kutip dari youtube seperti di bawah.

Saat yang paling mencemaskan bagi aku ialah apabila terasa kenderaan yang di naikki seolah-olah menjunam jatuh ke bawah dengan laju sekali dicelahan bangunan tinggi. Selain gambaran jatuh menjunam, terasa berangin mengiringi gerakan menjunam tersebut. Itu yang buat aku kejam mata ‘ketakutan’. Mungkin misi hendak menyelematkan diri daripada terperangkap dalam peperangan antara transformer.

Penggunaan high-definination video gergasi dengan effect 3D begitu terasa dan itulah yag sebenarnya menghidupkan suasana di samping audio dan gerakan kenderaan yang dinaikki. Teknologi ini dipanggil juga sebagai Audio-Animatronics. Terkejut juga melihat serpihan barangan yang pecah seolah-olah bergerak ke arah kita. Effect 4D terasa juga menerusi percikan air, angin, udara panas serta kabus yang kelihatan.

Tapi gambarnya tidaklah secantik sebagaimana digambarkan dalam iklan TV. Biasalah iklan tu melampau-lampau. Suasana sepanjang berhadapan dengan pertempuran transformer agak tegang dan terasa begitu lama, tidak sabar nak di selesaikan misi.

Habis sahaja pengembaraan, terasa begitu lega sambial berjalan keluar. Baru nampak binaan Sci-Fi City yang digambarkan sebagai kota futuristik. Orang ramai juga tidak melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat Transformer yang terdapat di situ.

Aku mula terasa pening kepala dan mual-mual. Sebelum keluar tadi, terdapat jualan pelbagai cenderahati berkaitan Transformer. Walaupun pengembaraan tadi memakan masa sekitar 10 minit sahaj, tetapi pembinaannya studio transformer itu dikatakan mencecah USD 100 juta.

Battlestar Galactica Roller Coaster
Terletak bersebelahan Transformers, tengok sahaja sudah mengerunkan. Jadi, tengok sajalah. Terjerit-jerit kumpulan orang ramai yang naik ketika coaster bergerak sekitar 80km/j, sambil berputar membalikkan keseluruhan penumpang. Riuh satu taman tema.

Coaster atau keretapi yang digunakan dibuat berpandukan filem Battlestar Galactica. Ada dua track iaitu warna biru dan merah. Tak pastilah apa yang membezakannya.

Pernah ditutup suatu kelika dahulu untuk suatu tempoh yang berbulan lamaanya atas alasan keselamatan dan ia baru dibuka semula dengan tambahan track.

Aku perasan setiap permainan yang disediakan mempunyai syarat masuknya, seperti tidak mengandung, sakit jantung, tahan kepada pergerakan yang memabukkan serta punyai ketinggian tertentu.

Ancient Egypt
Sebelah Sci-Fi City ialah taman Mesir purba yang dikatakan dibuat berdasarkan filem The Mummy. Melihat kepada keterangan yang dipaparkan di pintu masuk bangunan besar, terasa takut aku nak mencubanya. Katanya lebih ‘dahsyat’ daripada Transformers.

Aku berkesempatan bersama beberapa karakter yang mungkin menjadi sebahagian daripada karakter dalam filem The Mummy serta sequelnya. Nak bergambar tu free saja, Cuma kena beratur. Kakitangan USS yang bertugas sedia membantu untuk ambikkan gambar.

Banyak patung-patung besar agaknya bagi mewujudkan tema zaman Firaun dan The Mummy dibina. Besar giler … macam real saiz saja. Solid batu, bukan sebarangan dengan ukiraan seperti yang dilihat dalam filemnya.

Selain kedai jualan cenderahati, turut disediakan jualan makanan dengan suasana Mesir Purba. Menarik juga.

Rasanya makanan yang dijual tidak ada masalah daripada segi kehalalalnnya. Mana-mana yang ditampal label atau Logo halal Singapura, makan bolehlah dimakan untuk Muslim.

Treasure Hunter
Mungkin zon ini yang paling santai dan sesuai sekiranya tidak sukakan atau tidak layak bermain di permainan lain yang kelihatan begitu mencabar, memeningkan atau menakutkan.

Dengan menaikki jeep vintage padang pasir yang disediakan, round keliling trak mengikut laluan yang disediakan untuk merasai pengalaman sebagaimana dalam filem Indiana Jones. Cuma bagi kanak-kanak, mereka akan merasa dapat memandu atau mengenalikaan sendiri kenderaan jeep tersebut.

The Lost World
Walaupun filem Jurasic Park ini telah lama ditayangkan, malah sequel terakhirnya pun dah lama, namun kehadiran dinosaur masih menjadi tarikan utama.

Zon ini terdiri daripada Jurassic Park dan Water World. Aku rasa Water World ditutup ketika ini.

Walaupun filem Jurrasic Park serta sequelnya telah lama berakhir namun makhluk dinosour terus menjadi 'minat' ramai. Banyak tarikan di Lost World ni, mungkin sebab telah banyak siri daripada filemnya, jadi banyak yang boleh ditunjukkan di sini.

Antaranya ialah Canopy Flyer yang membolehkan kita melihat apa yang ada di sekitar zon Jurrasic Park. Untuk kanak-kanak mungkin boleh naik Dino-Soarin seperti di bawah. Argh, orang dewasa pun naik.

Yang menariknya ialah perjalanan dengan rakit modern merentasi kononnya habitat dinosour. Tidak 'menakutan' perjalanan ini, cuma mungkin sedikit basah oleh percikan air. Aku tidak ingat daripada filem sequal yang mana idea ini diambil.

Tapi kalau basah, boleh keringkan di alat yang disediakan seperti juga dalam filem Jurrasic Park.

Aku memasukki restoran yang disediakan sekadar untuk meninjau. Suasananya mengingatkan kembali kepada filem Jurassic Park dahulu. Ia benar-benar mengambarkan suasana filem tersebut.

Sedang aku berjalan-jalan, tetiba hujan turun. Aku mencari tempat untuk berteduh dan agak lama juga hujan turun. Aku lihat ramai yang membeli baju hujan ‘segera’ bagi membolehkan perjalanan pengalaman USS diteruskan. Maklumlah bayar tiket mahal.

Cuaca tidak mengizinkan. Tak sempat aku nak merasai permainan yang agak banyak disediakan di zon ini. Tapi kalau tidak, lagi lama dalam zon ini.

Sebahagian permainan di Jurassic Park diteruskan walaupun hujan turun, khususnya apabila sudah renyai-renyai. Pengumuman juga dibuat bagi memaklumkan persembahan lain yang diteruskan walaupun hujan turun, lantas aku bergerak ke Istana The Shrek, iaitu Far far Away.

Istana Far Far Away
Bersebelahan zon The Lost World ialah zon Far Far Away yang gah tersergam Istana yang menjadi menjadi lokasi utama dalam filem-filem Shrek.

Kerana masih hujan aku terus lari masuk sahaja ke dalam Istana tersebut.

Seperti juga memasuki bangunan Studio Transformer, kena melalui jalan untuk beratur. Namun kamu semua dibenarkan masuk serentak ke holding room dimana di situ kami diberikan penerangan pantang larang ketika berada dalam dewan tayangan. Antaranya tidak boleh makan minum dan mengambil gambar.

Sebagai mukadimmah, kisah The Shrek diceritakan menerusi beberapa video box yang digantung di hadapan pintu masuk. Kemudian kami diminta memakai cermin mata 3D dan masuk dalam dewan tayangan secara teratur. Wah … agak besar juga.

Kemudian ditayangkan dengan filem 3D selama 15 minit, seolah-olah penonton bersama dalam perjalanan untuk menyelamatkan Puteri Fiona. Ketika tayangan ini, terasa akan gerakan kerusi yang diduduki mengikut gerak kuda yang sedang dipacu oleh Shrek, tiupan angin serta percikan air. Mungkin boleh digambarkan sebagaimana youtube berikut.

Endingnya mengejutkan apabila Pinnochio memanjangkan hidungnya, seolah-olah hampir menyentuh muka kita sendiri.

Habis tayangan terus keluar ke kedai jualan bertemakan filem The Shrek dan seterusnya keluar melihat kecantikan bangunan Far Far Away. Nampak macam real, bangunan yang betul. Patut pun mahal kos pembangunan USS.

Kelihatan orang ramai sedang beratur panjang untuk bergambar dengan The Shrek & Fiona. Sebelum datang, memang menjadi hasratku nak bergambar dengan Shrek. Alhamdulillah ( ? ), hasrat terkabul juga. Tapi Shrek tu bisu agaknya, aku ucapkan Hello, tak dibalas pun ?

Satu lagi tarikan di sini ialah menaikki roller coaster yang agak 'ringan', seolah-olah menaikki 'naga' terbang yang terdapat dalam filem Shrek.

Madagascar
Berjalan terus, kelihatan beberapa watak kartun dari filem Madagascar sedang membuat persembahan tarian. Ini diikuti dengan sesi fotografi dengan watak-watak tersebut.

Tapi apakah filem Madagascar terbitan Universal Studio ? Kalau tidak, masakan ada dalam USS.

Zon Madagascar mengambil sempena dari filem Madagascar serta sequelnya. Entahlah, aku sendiri pun kurang mengenali watak-watak tersebut. Pakai ambik gambar sahaja.

Kemudian aku ikut beratur untuk merasai pengalaman pengembaraan dalam perut kapal. Panjang juga beratur dan kali ini memang benar-benar lama menunggu dan panjang queuenya. Naik penat dibuatnya.

Kemudian menaikki kenderaan atau boat mengikut kumpulan seramai 25 orang. Boat bergerak memasuki perut kapal dan disajikan dengan suasana kebisingan dalam kegelapan. Watak-watak Madagascar muncul satu demi satu sama ada dalam bentuk untuk menakut-nakutkan atau menjadikan kita terkejut.


Dalam 10 minit perjalan tersebut penggunaan animatronics, digital projection, bunyi dan tayangan bergerak digunakan bagi mewujudkan suasana dalam pelayaran bot.

Namun tiada yang 'menakutkan' atau mencabar berbanding seperti Transformer. Mungkin tidak berbaloi dengan masa menunggu yang lama tadi.

Show Terbuka
Aku sebenarnya sempat dua kali pusing taman tema USS. Mungkin sebab tidak merasai semua permainan yang disediakan. Kalau nak merasai semua pengalaman yang disediakan dalam setiap zon, mungkin perlu dua hari dalam USS. Apa taknya, yang paling lama ialah masa menunggu. Ada dijual tiket VIP ekspress bagi membolehkan skip queue, rasanya sekitar SGD50. Pergh, macam beli tiket satu lagi aje.

Terserempak dengan persembahan tarian ala breakdance agaknya. Tengok macam muka-muka bangsa Melayu aje. Melayu Singapura ?

Sepanjang berjalan-jalan aku berkesempatan menemui karakter serta peertunjukan terbuka di pentas atau tepi jalan. Ini juga sebagai satu tarikan, khususnya di kawasan sekitar New York dan Holywood.

Juga terdapat beberapa struktur atau patung yang berkaitan dengan USS di merata tempat, sama ada disedari atau tidak oleh orang ramai. Antara karakter yang sempat ditemui ialah Charlie Chaplin dan Betty. Marilyn Monroe katanya turun juga, tapi aku tak sempat temui.

Kedai Souvenir Universal Studios
Jualan cenderahati bertemakan karakter serta model filem-filem blockbuster Universal Studious nampaknya begitu laris. Walaupun aku kira mahal ( terutama jika dikali dengan sifir 2.5 untuk RM ), tapi peminat tegar filem Universal Studios tentunya tidak melepaskan peluang sebagai tanda kenang-kenangan.

Ini sebagai salah satu peluang perniagaan buat USS untuk cover kos pembinaan dan operasi USS, dengan mengeksploitasi minat pengemar filem Universal Studios serta pengalaman filem yang melekat di hati sepanjang berada di USS. Sekurang-kurangnya USS telah berjaya menjual value dan culture daripada filem-filemnya, menerusi pengalaman filem hasil kunjungan ke USS.

Aku kira ada sebabnya, filem-filem blockbuster di sambung sirinya lepas satu ke satu sequel, khususnya bagi menghidupkan terus watak-watak yang juga menjadi tarikan di USS serta bagi memastikan USS terus relevan.

Contohnya filem Shrek, sehingga kini telah ada 4 siri filem Shrek. Begitu juga Madagascar dan Transformer. Selagi merasa gah dan begitu berbangga, selagi value dan culture melekat dalam hati pengemar filem Universal Studios, selagi itulah USS akan terus bertahan dan relevan.

Surau
Daripada ribuan juta untuk pembangunan keseluruhan USS, rasanya sekitar SGD10 ribu sahaja diperuntukkan untuk surau, tempat solat bagi pengunjung Muslim. Apa taknya, kecil sahaja dan macam nak masuk permainan di setiap zon, kena beratur mengambil giliran kelompok solat berjemaah.

Ada dua ruang, iaitu lelaki dan pompuan. Tetapi bagi lelaki hanya ada satu paip untuk berwuduk dan solat cukup untuk sekitar 5-7 orang solat berjemaah. Sempit sangat dan apakah ini melambangkan betapa sukarnya Muslim di Singapura dalam melaksanakan ibadat berbentuk syiar ? Namun demikian biliknya berhawa dingin.

Kedai Makan Malaysia
Aku sebenarnya memang tidak berhasrat nak makan dalam USS. Aku ada membawa bekal biskut dan air mineral. Macam tidak menjadi satu kesalahan pula jika membawa makanan luar ketika masuk ke USS.

Di luar pintu masuk, terdapat deretan gerai-gerai Malaysia. Bukan setakat juadah yang dijual merupakan sajian Malaysia, suasana gerai yang diwujudkan juga cuba melambangkan Malaysian.

Entahlah, macam itu ke Malaysia ? Macam kat Penang saja ? Mungkin kewujudannnya bagi menarik minat pengunjung Malaysia, sebagai pengunjung luar negara utama ke Singapura atau idea daripada Tan Sri Lim Goh Thong.

Bukan Sekadar Bisnes Filem
Bisnes filem bukan setakat hasil jualan tiket menonton, tetapi umum mengetahui, juga merchandisenya. Selain itu, industri taman temanya seperti USS. Entah-entah industri merchandisenya lebih tinggi daripada kos pembinaan asal filem itu sendiri. Setelah filem yang dihasilkan mewujudkan peminat, taman tema pula mewujudkan kelompok peminat.

Nampaknya bisnes bagi pengeluar filem barat sepertu Univesal Studious bukan setakat sasaran dalam menghasil dan memasarkan filem terbitannya. Sekiranya mendapat tempat di hati peminat filem, maka bisnes merchandise menyusul. Jika bersesuaian maka dijadikan taman tema pula. Bagi mengekalkan populariti dan terus mendapat tempat di hati peminat, maka sequel filem dibuat.

Kemajuan USS mungkin sedikit sebanyak dibantu dengan kemurahan tiket kapal terbang tambang murah. Begitu juga sebaliknya, wujudnya taman tema USS menjadikan Singapura sebagai destinasi tarikan di rantau ini dan orang ramai memerlukan pengangkutan udara untuk sampai dan masuk Singapura.

Apa taknya, penduduk Singapura pada tahun 2011 adalah sekitar 3,8 juta orang. Manakala statistik 2011 menunjukkan Singapura menerima kunjungan masuk seramai 13,1 juta orang, suatu peningkatan daripada 11,6 juta orang dalam tahun 2010. Apakah peningkatan ini berkaitan dengan tarikan USS ?

Ini belum lagi dibicarakan bagaimana peranan Yahudi sama ada dalam industri hiburan dan perfileman perfileman yang mana kewujudan Universal Studios serta USS turut berkait rapat dengannya. Mungkin lain kali ...


Lagi Gambar Kunjungan Ke USS

Share:

3 Komen:

JESS said...

Hi ADMIN. Terima kasih sudi share pengalaman... :) Kalau ikut update terkini 2017 : penduduk SG ada dalam 5million.. currency eate MYR to GSD pula dalam 3.2 dah.. BTW: Mari dapatkan tiket promosi Singapore seperti USS/ SINGAPORE ZOO/ GARDEN BY THE BAY/ SEA AQUARIUM/ NIGHT SAFARI/ RIVER SAFARI/ ADVENTURE COVE WATERPARK/ CABLE CAR dan banyak lagi! Pasti lebih murah dari harga kaunter & OPEN DATE!
.
Contoh:Tiket USS, MYR 211 per adult sahaja (est SGD66 only). Pakej USS with 2 ways transfer via bus from DANGA BAY JB - USS juga ada.
.
Lawati LOVE TRAVEL page di >>> http://lovetravel-love.blogspot.com & >>> www.facebook.com/lovetravel86
JESSICA, LOVE TRAVEL
(whatsapp: +6012-7760219)
Email: jessica.travel8686@gmail.com .TQ

JESS said...
This comment has been removed by the author.
JESS said...

Hi Admin, apa khabar? :) Sis nak share info TERBARU, sekarang kita ada pakej ini: 💡"Singapore (SG) Tour 1-Day Trip" from JB serendah RM109 dengan sis / 🔎🚩Backpacker Trip Jelajah SG dari serendah 🔥RM90-RM60 sahaja...

Juga ada promosi; 🔖PAKEJ USS Trip dari JB @ 🔶Tiket Masuk Singapore (USS-SEA Aquarium-SKYLUGE-Lebih dari 30 JENIS!) All at %% Discount Price! Nak Private Tour 🚘 (car/starex)? Pun ada.. Silakan tanya...

Bole WHATSAPP ke ✔+6012-7760219 (JESS) - Agent SG & JB, Love Travel *Contact: ✔+6012-7760219

*Silakan lawat☺ >> FB.COM/LOVETRAVEL86

Pengunjung

Pengunjung 2

free counters

Total Pageviews

Blog Tazkirah